PAS perlu cermin diri dan memberi tumpuan terhadap pelabagai isu Islam yang masih belum terjawab daripada sibuk mengganggu kestabilan Kerajaan Negeri Selangor.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Wan Anwar Wan Ibrahim, berkata
beliau menganggap impian PAS untuk merampas Selangor adalah bersifat angan-angan Mat Jenin.
Katanya, ini kerana PAS dan Muafakat Nasional (MN) hanya mempunyai enam daripada 56 kerusi sahaja di dalam Dewan Negeri Selangor.
“Selain itu, PAS berhadapan dengan tekanan politik daripada Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Parti Peribumi Bersatu Malaysia.
“Saya ingin menegaskan bahawa kemenangan lebih besar Pakatan Harapan (PH) di Selangor pada PRU14 yang lalu adalah hasil daripada kesepaduan utuh parti-parti komponen dan juga kempen tolak perkauman dan anti radikal agama sempit yang jelas diterima oleh rakyat Selangor, “katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sokongan rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor semakin meningkat berikutan keberkesanan kerajaan negeri menyelesaikan isu domestik seperti isu bekalan air, perobohan kilang haram di samping kejayaan menangani kebajikan rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19.
“PAS sendiri harus menginsafi bahawa rakyat Selangor jelas kecewa apabila mereka telah membelakangkan Pakatan Rakyat (PR) dan menjadi punca perpecahan PR.
“Rentetan daripada itu, rakyat Selangor telah menzahirkan tindakan dengan menghukum PAS dalam PRU14 sehingga mereka hanya mampu mempertahankan kerusi DN Sijangkang sahaja selain beberapa kawasan telah kehilangan wang pertaruhan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencabar PAS, MN dan PN supaya menamakan calon Menteri Besar Selangor dalam PRU-15 akan datang sebagai menunjukkan kesungguhan dan kesepakatan gabungan politik itu di Selangor.
“Akhirnya saya menasihati PAS agar cermin diri dan memberikan tumpuan terhadap isu Islam yang masih belum terjawab.
“Ia termasuklah penganjuran ratu cantik, RUU355, kes Allahyarham Adib, majlis perkahwinan di kuil, kartel daging haram dan pertambahan cabutan khas nombor 4 digit daripada sibuk mengganggu kestabilan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, parti itu memerlukan sokongan rakan politik lain bagi membantu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
Beliau berkata, pihaknya menyeru agar semua jentera PAS Selangor khususnya barisan pemuda parti itu agar dapat memberi sokongan penuh dalam menjayakan misi bagi memenangkan MN dan PN di negeri itu.
Katanya, menerusi pertemuan bersama Ketua Penerangan PAS Selangor, Syarhan Humaizi semalam, pihaknya berpuas hati dengan strategi parti itu khususnya melalui operasi Lajnah Penerangan Perhubungan Negeri dalam misi untuk merampas pentadbiran kerajaan di Selangor. -Malaysiapost
