PANDEMIK Covid-19 adalah cabaran cukup besar dan getir sepanjang tahun ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, penularan wabak itu bukan saja menguji kekuatan individu tetapi juga daya ketahanan negara dengan masyarakat berbilang kaum dan latar budaya.
“Syukur Alhamdulillah, dalam berdepan cabaran Covid-19, kita semua rakyat Malaysia telah bangkit bersama menentang kemaraan penularan wabak ini dengan satu keazaman dan semangat kesepaduan yang amat luar biasa.
“Rakyat Malaysia telah menunjukkan sikap positif dan daya ketahanan cukup kental dan amat membanggakan walaupun pelbagai dugaan datang melanda sepanjang 2020.
“Terima kasih rakyat Malaysia,” katanya dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu 2021 yang disiarkan melalui stesen televisyen dan platform media sosial rasmi kerajaan, malam ini.
Muhyiddin berkata, negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac.
Justeru, beliau berkata, jika situasi sama berulang, ia akan melumpuhkan bukan saja ekonomi tetapi juga sistem kesihatan awam.
“Oleh sebab itu, kerajaan perlu laksanakan pendekatan yang paling sesuai dalam menguruskan pandemik ini untuk memastikan rakyat selamat dan ekonomi kekal bertahan.
“Ini mungkin menyebabkan usaha untuk mengawal sepenuhnya penularan pandemik Covid-19 akan mengambil masa yang lebih lama, tetapi ia adalah satu pendekatan yang perlu dibuat pada masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik cabaran besar dihadapi negara pada tahun ini, Muhyiddin berkata, Malaysia masih kekal antara 30 ekonomi paling kompetitif di dunia.
Beliau berkata, pada masa sama, pencapaian ekonomi Malaysia adalah antara 10 terbaik di dunia mengikut laporan ‘World Competitiveness Ranking 2020’ dikeluarkan Institut Pengurusan Pembangunan (IMD).
“Saya percaya banyak lagi ruang untuk kita baiki dan insya-Allah, akan kita lakukan secepat mungkin supaya daya saing ekonomi Malaysia terus meningkat,” katanya. – Malaysiapost

