KERAJAAN akan menggembleng usaha memulihkan situasi di Malaysia sebaik dan secepat mungkin.
Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lima keutamaan akan diberikan perhatian oleh kerajaan pada 2021 sebagai strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19.
Katanya, strategi pertama adalah mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin Covid-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara.
“Kedua, memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Ketiga, memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi mampan.
“Keempat, menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat.
“Terakhir, memperkukuh hubungan antara kaum serta agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Tahun Baharu 2021.
Muhyiddin berkata, kerajaan akan berikhtiar untuk terus meningkatkan tahap kesihatan awam di negara ini berasaskan prinsip ‘mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’.
Katanya, pencegahan awal adalah penting dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan perlu terus dipatuhi, bersesuaian dengan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan. – Malaysiapost
