Pemimpin politik elak ganggu kestabilan negara – PM

0
1

PEMIMPIN politik diharap dapat menunjukkan sifat bertanggungjawab dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan politik negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata adalah lebih baik soal politik diketepi dahulu pada ketika ini dan bersatu demi memelihara kebajikan rakyat.

“Kita perlu dan mesti bersama dalam mengharungi pandemik Covid-19 sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara.

“Rata-rata rakyat mahu semua ahli politik menggembleng tenaga membantu rakyat dan tidak mencetuskan kemelut politik yang merugikan rakyat.

“Jutaan rakyat telah terjejas dengan pandemik ini, maka adalah lebih baik jika kita mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan terus memahami keluh-kesah serta mendengar denyut nadi kemahuan rakyat,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Tahun Baharu 2021, malam ini.

Muhyiddin berkata, beliau percaya jika semua bekerja demi rakyat dan mendahulukan serta membela rakyat, sudah tentu rakyat akan terus menyokong segala usaha kerajaan demi kebaikan bersama.

Katanya lagi, selain kestabilan politik, tadbir urus yang baik akan terus dipertingkatkan malah usaha memerangi rasuah dan menjunjung nilai ketelusan serta intergriti akan diperhebatkan.

“Sistem pelaksanaan kerajaan akan terus dipantau dan ditambah baik supaya rakyat mendapat apa yang dijanjikan.

“Saya percaya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik akan mampu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.

“Pelaburan domestik dan antarabangsa ini pastinya akan dapat menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan membuka ruang perniagaan yang akan memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here