
Muhammad Mustakim Ramli
BEKAS senator, Mohamad Ezam Mohd Nor mengingatkan pengasas Parti Perjuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa individu yang mendedah rasuah disumbat ke dalam penjara ketika zaman Perdana Menteri keempat.
Beliau berkata Mukhriz menyatakan kebencian kepada perasuah dan tidak akan bekerjasama dengan perasuah, namun lupa hakikatnya Tun Dr Mahathir Mohamad memenjarakan orang yang melawan perasuah.
“Apakah beliau lupa atau buat-buat lupa hakikat sejarah PM ke 4 Mahathir penjarakan orang yang melawan perasuah?
“Saya dipenjarakan dua tahun di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi) pada 1999 kerana mendedahkan dokumen pendakwaan terhadap dua perasuah yang menjadi menteri dan ketua menteri di masa Mahathir adalah Perdana Menteri.
“Kertas pendakwaan yang siap untuk mendakwa dua pemimpin kroni Mahathir ini tidak didakwa kerana dilindungi seorang PM yang bernama Mahathir,” dakwanya menerusi kenyataan, hari ini,
Ezam mendakwa, beliau membuktikan kertas pendakwaan itu dokumen asli kerana dalam prosiding kes tersebut Peguam Negara yang dilantik Dr Mahathir memperakui di mahkamah bahawa cop rahsia di kertas dokumen itu tulen dan asli.
“Mahathir bukan sahaja bekerjasama dengan perasuah malah melindungi perasuah dan kerana itu orang seperti saya yang melawan perasuah dimasukkan ke penjara.
“Hari ini anak Mahathir isytihar partinya dan parti bapa beliau tidak akan kerjasama dengan perasuah. Hipokrasi dan kemunafikan politik kelas pertama,” katanya.
Beliau juga meminta Mukhriz berhenti menjadi munafik dan mempamerkan seolah-olah anti perasuah.
“Hakikat dan fakta sejarah membuktikan sebaliknya. Buat simpatisan dan penyokong Mahathir dan Muhriz pula berhenti jadi orang-orang bodoh. Sampai bila mahu jadi bodoh dan diperbodohkan oleh Mahathir?,” katanya. – Malaysiapost
