PERTUBUHAN Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) akan berjumpa Datuk Bandar Subang Jaya, Noraini Roslan esok, bagi membincangkan isu perobohan gerai di Taman Puchong Permai.
Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pertemuan itu susulan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memberi tempoh sehingga Ahad ini bagi menyelesaikan isu perobohan tersebut.
Justeru, katanya, pihaknya dan kemungkinan bersama Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Tan Sri Noh Omar akan turut serta dalam pertemuan itu.
“Jika YDP Subang Jaya masih tak sudi jumpa, saya dah maklum kepada peniaga-peniaga untuk berkumpul di depan rumah Menteri Besar Selangor untuk bagi surat,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Terdahulu beliau mengiringi Noh melawat peniaga gerai yang terlibat dalam perobohan serta meninjau tapak niaga berkenaan yang diusahakan peniaga sejak 20 tahun lalu.
Mengenai rungutan peniaga berhubung lokasi baharu disediakan MBSJ yang didakwa kurang selesa dan sempit, Mohd Ridzuan berkata persetujuan daripada peniaga disifatkan dilakukan secara ‘paksa’.
Bagaimanapun, katanya, majoriti peniaga tidak bersetuju untuk menerima lokasi baharu tersebut.
“MBSJ tak nak jumpa persatuan, cuma nak jumpa individu dan hanya tiga orang sahaja yang bersetuju daripada 43 peniaga.
“Sepatutnya mereka berbincang terlebih dahulu dengan persatuan. Ini tidak, buat cara ‘komunis’ tarik satu, satu (individu) dengan keadaan paksa,” katanya.
Beliau turut menjelaskan faktor keluasan memainkan peranan kerana tempat baharu yang disediakan amat kecil.
“Namun sekiranya MBSJ bertimbang rasa untuk menukar atau memberi tempat yang luas dan selesa, mereka akan berpindah
“Kita akan pindah jika tempat itu saiznya 20×20 persegi, ada kemudahan tandas dan sebagainya. Dah tentu peniaga akan pindah,” katanya sambil menegaskan beliau bersama peniaga akan tetap mempertahankan tapak niaga sedia ada jika MBSJ berkeras merobohkan gerai milik peniaga.
“Kalau tak selesai juga, Isnin depan kita berhadapan isu besarlah… kita akan berhimpun di tapak lama ini..
“Kita takkan bagi MBSJ roboh tempat itu. Nak jadi apa jadilah kita akan tetap kekalkan tempat itu,” tegasnya.
Kelmarin, kira-kira 100 anggota penguatkuasa melibatkan MBSJ, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikerah untuk operasi perobohan gerai-gerai itu.
Operasi bermula jam 8 pagi itu mencetuskan ketegangan antara sekumpulan penjaja yang dengan penguatkuasa dalam usaha menghalang perobohan gerai makan yang diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu.
Susulan campur tangan IKHLAS, pihak MBSJ memberi tempoh tujuh hari untuk peniaga menyelesaikan isu berkenaan, seterusnya berpindah ke lokasi baharu. – Malaysiapost
