Daging import: ‘Makan atau tak ikut keyakinan dan hak masing-masing’

0
2

UMAT Islam mempunyai hak untuk membuat pilihan sama ada terus memakan daging import atau sebaliknya, bergantung keyakinan masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri.

Beliau berkata, pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta mufti sudah memberikan kenyataan dan pandangan masing-masing serta ia dibahaskan di Dewan Negara.

Beliau berkata, sebahagian daging disahkan halal semalam oleh KPDNHEP dan pengesahan itu sudah boleh dirujuk untuk dijadikan perkiraan dalam membuat pertimbangan sewajarnya.

“Jadi pandangan yang dikemukakan samahah-samahah, lebih kepada untuk ikhtiar atau pun mengambil jalan berhati-hati.

“Tetapi apabila disahkan oleh sebahagian daripada pihak berwajib yang menyertai dan membuat kajian dan telah masuk dalam Parlimen semalam melalui Dewan Negara dan ada usul khas yang dijawab Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, ia memberi jawapan yang melegakan kita semua.

“Bagaimanapun, sekiranya masih was-was, mereka perlu menghindarkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan.

“Saya berdoa pada Allah SWT supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Zulkifli mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang menyarankan orang ramai menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.

Katanya,, Jakim sudah mengeluarkan pelan tindakan bagi menangani isu keraguan status halal daging import seterusnya menambah baik kelemahan yang ada dan merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu pengurusan halal.

Katanya, Bahagian Pengurusan Halal dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia, jabatan berkenaan juga akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan selain pengimport dan pengedar daging pada awal bulan depan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here