Nilam Oshman
KERAJAAN Selangor khususnya Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) diminta agar bertimbang rasa terhadap nasib rakyat yang berdepan kesukaran kesan penularan Covid-19, bukannya menyusahkan mereka seperti merobohkan gerai peniaga.
Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Tan Sri Noh Omar berkata tindakan merobohkan gerai-gerai peniaga di di Taman Puchong Permai Isnin lalu, amatlah tidak wajar serta tidak kena pada masanya.
“Nak ambil apa-apa tindakan terutama terhadap penjaja janganlah begini, perlu bertimbang rasa… itulah prinsip dan nasihat.
“Orang meniaga tepi jalan ini, memang sebahagian tak ada lesen dan tindakan MBSJ betul, kuasa meroboh itu di bawah mereka.
“Tapi masalah pertamanya, apa yang berlaku sepatutnya Datuk Bandar (MBSJ) dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kena buka mata.
“Menteri Besar ini tahu tak apa yang sedang rakyat alami… ketika ini Covid-19 melanda,” katanya kepada media selepas bertemu peniaga gerai-gerai tersebut di tapak niaga mereka hari ini.
Mengulas lanjut, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata ketika kerajaan Persekutuan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19, kerajaan Selangor pula bertindak sebaliknya.
“Menteri Besar Selangor ini pekak ke ‘buta? Tak dengar dan tak lihat apa yang berlaku. Datuk Bandar Subang Jaya ini juga tak nampak ke? Saya minta maaflah, ini masalah rakyat… kamu kena turun dan tengok,” tegasnya.
Beliau berkata, tindakan merobohan boleh dilaksanakan namun perlu melihat terlebih dahulu situasi peniaga termasuk sediakan lokasi baharu yang sesuai serta selesa.
“Nak roboh boleh, saya cakap di Parlimen… nak roboh, nak ambil tindakan boleh tapi jangan sekarang… kerana tengah Covid-19, rakyat tengah susah.
“Sepatutnya orang tak ada modal, kita bagi… ini gerai 20 tahun (beroperasi), kenapa perlu roboh sekarang?
“Kenapa kerajaan negeri dan Datuk Bandar buat begini? Dan sesuai ke nak meniaga di tempat baru, elektrik tak ada, air tak ada dan tiga ‘shift’… gilir-gilir (berniaga), tempat masak pun tak ada.
“Sebelum nak lakukan pembaharuan, dengar dahulu pendapat peniaga-peniaga ini, bukan merancang ikut suka hati,” katanya.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan Datuk Bandar MBSJ dan Menteri Besar Selangor bagi menyelesaikan isu perobohan gerai-gerai berkenaan.
Kelmarin, kira-kira 100 anggota penguatkuasa melibatkan MBSJ, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikerah untuk operasi perobohan gerai-gerai itu.
Operasi bermula jam 8 pagi itu mencetuskan ketegangan antara sekumpulan penjaja yang dengan penguatkuasa dalam usaha menghalang perobohan gerai makan yang diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu.
Susulan campur tangan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), pihak MBSJ memberi tempoh tujuh hari untuk peniaga menyelesaikan isu berkenaan, seterusnya berpindah ke lokasi baharu. – Malaysiapost

