KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, menerima anugerah Bintang Bhayangkara Utama daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), hari ini.
Penganugerahan itu adalah sebagai tanda penghormatan atas kerjasama terjalin antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Polisi Republik Indonesia (POLRI).
Anugerah disampaikan oleh Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono, pada majlis tertutup di Bukit Aman yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Bercakap kepada Bernama selepas majlis itu, Abdul Hamid berkata, penganugerahan itu adalah satu penghormatan atas hubungan baik yang terbina antara kedua-dua agensi keselamatan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“…dan kemuncak kerjasama ini apabila satu tindakan bantuan diberikan kepada POLRI oleh PDRM dalam (menyelesaikan) satu kes membabitkan orang buruan pemerintah Indonesia.
“Saya amat bersyukur dengan penganugerahan ini, dan dengan rendah diri ingin kongsikannya bersama 130,000 warga PDRM yang lain,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Abdul Hamid turut menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap setiap warga PDRM yang telah bersama-sama menabur bakti dan kerjasama membantu pihak POLRI dalam menegakkan undang-undang dengan membanteras jenayah.
“Saya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada pegawai POLRI yang rata-ratanya sudah bersara, atas sumbangan ditaburkan dan kerjasama erat antara PDRM dengan POLRI.
“Begitu juga dengan Kepala Kepolisian Negara Republik Indonesia (KAPOLRI) (Ketua Polis Negara Indonesia), Jeneral Polisi Idham Azis yang sering berkomunikasi dalam berkongsi maklumat dan akrab, saling percaya, jujur serta ikhlas.
“Semuanya adalah demi kebaikan kedua-dua negara,” katanya. – Malaysiapost

