Kempen capai sasaran, Syed Saddiq botak kepala

0
1

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunaikan janjinya dengan membotakkan kepala selepas usahanya #1Keluarga1Laptop yang dilancarkannya berjaya mencapai sasaran.

Difahamkan, setakat jam 7 petang tadi, kempen yang diusahakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu sudah mendapat sumbangan sebanyak RM383,000.

Syed Saddiq membotakkan kepalanya secara ‘live’ yang boleh ditonton menerusi laman Facebook dan semua platform media sosial Astro Awani.

Rambut beliau dipotong oleh ibunya sendiri Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz sebelum ia dirapikan oleh penggunting rambut profesional yang disediakan oleh Astro Awani.

Menurut Syed Saddiq, kempen #1Keluarga1Laptop mensasarkan semua keluarga berpendapatan rendah dengan isi rumah di bawah RM1,500 di dalam Parlimen Muar.

“Sasaran yang diletakkan adalah sebanyak 500 keluarga berpendapatan rendah terutamanya yang mempunyai anak untuk menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sebagainya,” katanya sambil rambutnya sedang dipotong.

Beliau dalam pada masa sama, mengharapkan sumbangan yang diberikan mampu mencecah RM400,000.

Syed Saddiq juga berkata, beliau sangat terkenang budi kepada semua yang menderma kepada golongan memerlukan di daerah Muar walaupun ada sebahagian daripada mereka tidak pernah ke daerah itu.

“Saya akan beri kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengaudit sumbangan diberikan secepat mungkin sebelum menyalurkannya kepada golongan disasarkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here