Isu roboh gerai: Kalau sedia gerai sesuai dan selesa, kami akan pindah

0
1

Nilam Oshman

PENJAJA di Taman Puchong Permai sedia berpindah ke lokasi baharu jika Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyediakan gerai yang sesuai dan selesa untuk mereka berniaga.

Seramai 43 penjaja di lokasi itu kini berdepan kemungkinan gerai yang mereka usahakan sejak 20 tahun lalu dirobohkan, jika usaha penyelesaian dengan pihak MBSJ menemui jalan buntu.

Peniaga, Mohd Azmanizam bahrudin, 43, berkata, sekiranya gerai yang disediakan MBSJ luas dan mempunyai ruang untuk memasak, mereka akan berpindah.

“Kami akan pindah kalau tempat itu luas dan selesa tapi ini petak niaga kecil, selepas itu ada tiga ‘shift’ (berniaga secara bergilir-gilir), kena masak di rumah dan angkut ke situ.

“Saya pula meniaga nasi kukus ayam dara… susahlah. Lagipun rasa makanan itu akan hilang.

“Satu lagi nak masak di rumah sekurang-kurangnya jam 5 pagi kena mula, orang nak makan jam 10 pagi, makanan dah sejuk,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Mohd Azmanizam berkata, peniaga sudah menyuarakan mereka tidak bersetuju dengan keadaan lokasi baharu tersebut, namun pihak MBSJ tidak mengendahkannya.

Beliau turut meminta Datuk Bandar Subang Jaya supaya bertolak-ansur dan bertimbang rasa terhadap peniaga yang bergantung mencari rezeki di kawasan berkenaan terutama ketika pendapatan terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Usahawan Prima Work Puchong (Puspek), Norazadila Alias, berkata MBSJ menyusahkan peniaga apabila menetapkan syarat tidak membenarkan mereka memasak di tempat baharu.

Justeru, katanya, ia menyebabkan mereka akan mengalami kesukaran.

“Tempat baru ini tidak dibenarkan memasak dan kawasan gerai pun kecil. Namun menambahkan lagi masalah, kebanyakan peniaga duduk di rumah flat, sebahagian tak ada lif dan tempat sesuai untuk masak.

“Benda ini remeh dan menyusahkan peniaga, malah tempat yang dipilih oleh MBSJ tidak strategik,” katanya yang berharap isu itu dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

“Kami pun mencari rezeki… kalau boleh perkara ini diselesaikan secepat mungkin dan kedua-dua pihak berpuas hati,” katanya.

Kelmarin, kira-kira 100 anggota penguatkuasa melibatkan MBSJ, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikerah untuk operasi perobohan gerai-gerai itu.

Operasi bermula jam 8 pagi itu mencetuskan ketegangan antara sekumpulan penjaja yang dengan penguatkuasa dalam usaha menghalang perobohan gerai makan yang diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu.

Susulan campur tangan IKHLAS, pihak MBSJ memberi tempoh tujuh hari untuk peniaga menyelesaikan isu berkenaan, seterusnya berpindah ke lokasi baharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here