PAS memerlukan sokongan rakan politik lain bagi membantu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor, kata Ketua Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khirudin.
Berikutan itu beliau meminta jentera PAS Selangor khususnya barisan pemuda parti itu memberi sokongan penuh menjayakan misi memastikan kemenangan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Katanya, menerusi pertemuan bersama Ketua Penerangan PAS Selangor, Syarhan Humaizi, pihaknya berpuas hati dengan strategi parti itu khususnya melalui operasi Lajnah Penerangan Perhubungan Negeri dalam misi merampas pentadbiran kerajaan di Selangor.
“Pagi ini dimulai dengan pertemuan sarapan saya bersama Al-Fadhil Ustaz Syarhan Humaizi. Kami sembang banyak perkara khususnya mengenai jentera parti di Selangor.
“Selangor ini unik kerana PAS memerlukan rakan politik bagi menggantikan kerajaan PH,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Khairil berkata, beliau juga akan terlibat sebaik mungkin untuk memperkukuhkan lagi misi PAS Selangor bersama Syarhan bagi merampas pentadbiran kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
“Saya banyak pengalaman dalam dunia pemuda bersama ustaz Syarhan. Bertahun lamanya. Isteri kami juga kawan karib. Kini ustaz Syarhan adalah Pengarah PASTI Malaysia di dalam Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
“Beliau adalah sahabat saya dunia akhirat,” katanya. – Malaysiapost
