Covid-19: ‘Adakah Sesi persekolahan dibuka seperti dirancang?’ – DPIM

0
2

ADAKAH sesi persekolahan akan dibuka seperti dirancang, itu persoalan yang diajukan Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) kepada kerajaan susulan kes baharu Covid-19 di negara masih pada tahap membimbangkan.

Justeru, DPIM menggesa supaya kerajaan bertindak segera dalam usaha mengekang penularan Covid-19 yang semakin meruncing.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata jangkitan Covid-19 di negara masih mencatatkan empat angka dengan rekod tertinggi berjumlah 2,335 pada 26 Disember lalu.

Katanya, sehingga kini masih belum ada tanda-tanda penurunan kes kepada tiga angka, justeru, beliau meminta kerajaan berkongsikan nilai R Naught (Ro) ketika ini.

“Lebih malang apabila ramai kanak-kanak dijangkiti wabak Covid-19, seterusnya memberikan implikasi besar kepada penularan Covid-19 terhadap ahli keluarga yang lain.

“Kerajaan perlu telus dalam menyatakan jumlah pesakit yang berumur 12 tahun ke bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, petugas barisan hadapan sudah kepenatan dalam menjalankan kerja mereka.

“Bayangkan, kita berdepan wabak ini sejak bulan Mac, kemudiannya beberapa fasa getir seperti penularan Covid-19 sewaktu Kluster Tabligh, kemudiannya Sabah, kini di zon merah di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau mendakwa, peningkatan kes mengakibatkan prosedur yang ditetapkan tidak dapat dilaksanakan secara teratur hingga mengakibatkan pesakit Covid-19 terpaksa menunggu dari jam 4 petang hingga 3 pagi untuk dimasukkan ke pusat kuarantin.

“Bayangkan, petempatan kotor dan tidak selesa apabila golongan warga emas yang menginap di Dewan Makan Pusat Kusta Negara.

“Berpindah-randah adalah norma baru. Kerajaan perlu bertanggungjawab untuk memastikan setiap pesakit Covid-19 diberikan tempat petempatan yang selesa, tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here