Covid-19: 1,870 kes baharu, Johor pula catat kes tertinggi

0
1

MALAYSIA mencatatkan 1,870 kes baharu Covid-19 hari ini yang menyaksikan Johor merekodkan kes jangkitan tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata buat julung kalinya Johor melapor kes harian baharu tertinggi iaitu 607 atau 32.5 peratus daripada keseluruhan kes dilaporkan hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 578 kes (95.2 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Peningkatan kes di Johor dipengaruhi oleh kluster berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Choh yang melaporkan 374 kes (61.6 peratus).

“Ia diikuti oleh Selangor sebanyak 472 kes (25.2 peratus) dan Sabah dengan 280 kes (15 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 402 kes (21.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

Katanya, ia membabitkan Kluster Tembok Choh (374 kes), Penjara Jalan Harapan (8), Pagar Bentong (6), Tembok Mempaga (4), Tembok (4), Pagar Siput (3), Tembok Gajah (2), dan Kluster Hala Mutiara (1 kes).

Kuala Lumpur pula mencatatkan 219 kes, Pulau Pinang (69), Kelantan (56), Perak (48), Pahang (48), Negeri Sembilan (34), Kedah (23), Melaka (8), Labuan (2), Terengganu (2), Sarawak (1) dan Putrajaya (1).

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 131 kes positif yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan enam kes kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah 463 (0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here