SEBANYAK lapan kluster baharu dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini dengan lima daripadanya membabitkan negeri di Lembah Klang.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster baharu yang dikesan di Johor iaitu Kluster Tembok Choh mencatatkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 383 kes.
Katanya, kluster itu membabitkan daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing.
Menurutnya, di Lembah Klang pula, pihaknya mengesan lima kluster iaitu Kluster Tapak Bina Broga (Hulu Langat), Kluster Tapak Bina Jalan Stesen (Lembah Pantai), Kluster Slot Berjaya (Lembah Pantai), Kluster Jalan Nikolas (Titiwangsa) dan Kluster Alor (Kota Setar, Kedah, Titiwangsa, Cheras).
“Setakat ini, Kluster Tapak Bina Broga mencatatkan 64 kes, Kluster Tapak Bina Jalan Stesen (54), Kluster Slot Berjaya (9), Kluster Jalan Nikolas (6) dan Kluster Alor (20),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, dua lagi kluster dikesan di Perak dan Pahang iaitu Kluster Gerbang Pongsu dan Kluster Damai Ketari.
“Bagi Kluster Gerbang Pongsu, ia dikesan di daerah Kerian dan Kinta di Perak yang setakat ini menjangkiti lapan individu manakala Kluster Damai Ketari dikesan di Bentong, Pahang dengan 21 kes,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak lima kluster diisytihar tamat selepas tiada lagi pertambahan kes baharu.
“Ia membabitkan Kluster Tapak Bina Sungai Mulia, Kluster Assumption, Kluster Blok 31, Kluster Tanjung Bunga, dan Kluster Jeri,” katanya. – Malaysiapost

