TMJ sindir Syed Saddiq?

0
1

STATUS Insta Story Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ismail mencetuskan spekulasi apabila didakwa menyindir bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Insta Story dengan gambar sumbangan cek bernilai RM300,000 dikurniakan Tunku Ismail kepada anak-anak Muar itu dimuatnaiknya di media sosial tersebut hari ini.

Antara lain, Tunku Ismail menulis kapsyen yang agak ‘pedas’ terhadap seseorang namun tidak dinamakan dalam status berkenaan.

“Tak payah nak curi duit rakyat dan masih ada kes dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), tak payah nak menipu, tak payah nak berlakon dan tak payah nak botakkan kepala.

“Cukup cukuplah menggunakan orang Muo (Muar) demi kepentingan peribadi. Lagi lagi apabila awak tu orang Arab Singapura bukan orang Johor,” katanya dalam status berkenaan.

Syed Saddiq dikaitkan dengan status itu kerana beliau adalah Ahli Parlimen Muar dan kini giat mengumpul dana RM200,000 untuk menyediakan komputer riba kepada pelajar di daerah tersebut.

Bekas menteri itu juga giat mempromosikan bahawa jika dana terkumpul mencecah sasaran, beliau bersedia membotakkan kepalanya.

Syed Saddiq kemudian memuatnaik video pendek juga di platform Instagram dengan berterima kasih kepada Tunku Ismail terhadap sumbangan diberikan.

Beliau juga merafak sembah ampun terhadap Tunku Ismail sekiranya ada menyinggung perasaan baginda dan keluarga.

“Sebagai manusia biasa, patik tidak terlepas daripada membuat kesilapan, patik mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun sekiranya ada tersinggung perasaan Tunku dan keluarga.

“Sebagai anak jati kelahiran Johor yang membesar di Johor dan bersekolah di Johor, patik dan seluruh keluarga amat terhutang budi kepada Duli Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Johor, Tunku dan seluruh keluarga selaku pemerintah negeri Johor Darul Takzim,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here