PUSAT Koreksional Kamunting (KEMTA) akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD turut membabitkan kuarters kakitangan KEMTA susulan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di lokaliti terbabit.
“Sehingga 24 Disember lalu, KKM melaksanakan 1,490 saringan terhadap tahanan dan daripada jumlah itu, 50 didapati positif Covid-19.
“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di KEMTA Taiping di Perak berserta kuarters bermula 30 Disember (esok) hingga 12 Januari depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau memaklumkan, pelaksanaan PKPD itu bertujuan mengawal kluster sedia ada dan menghalang penularan kepada banduan lain, kakitangan, ahli keluarga serta komuniti di luar KEMTA.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 142 individu ditahan semalam dengan semuanya dikenakan kompaun selepas didapati mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (78), tidak memakai pelitup muka (53), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (9) dan lain lain kesalahan (2),” katanya. – Malaysiapost
