DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tumbang Februari lalu, gagal menunjukkan kesungguhan membanteras rasuah.
Pengerusi PH itu berkata PH ketika itu hanya lantang mengkritik pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta rasuah melibatkan pemimpin Umno.
Berikutan itu, katanya, apa makna gabungan besar seperti disebut-sebut beberapa pemimpin pembangkang jika masih mengulangi kerosakan yang lalu.
“Ya kita keras dalam isu rasuah, isu 1MDB, rasuah dalam kalangan pemimpin Umno, tapi kita banyak tolak ansur dengan rasuah dalam kalangan puak-puak kita.
“Antaranya jadi pengkhianat besar, ini yang menyebabkan saya katakan kita hilang paksi perjuangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku 100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi 2008 di Shah Alam.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, rakyat memilih PH sebagai kerajaan kerana mahu melihat perubahan khususnya dalam usaha menangani rasuah.
Bagi mencapai hasrat itu, katanya, perubahan besar-besaran perlu bagi menyakinkan rakyat bahawa PH mampu mentadbir negara dengan lebih baik berbanding kerajaan sebelumnya.
“Ketika kita menjadi kerajaan maka harus diperlihat satu sikap berbeza. Kalau program kita semua hampir sama (dengan pentadbiran terdahulu) cuma baik sikit, kalau rasuah kurang sikit berlaku, kalau tolong rakyat lebih sikit, ini bukan reformasi.
“Sepatutnya kita letakkan satu asas lebih baik, tapi ini tidak langsung memperlihat semangat dan keupayaan reformasi, ini yang menyebabkan rakyat kecewa,” katanya. – Malaysiapost
