INSIDEN ketika berbasikal yang menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kelmarin mungkin telah menyebabkan seorang lelaki lain ‘kantoi’ dengan isterinya.
Menerusi perkongsian di Twitter, seorang wanita yang dikenali dengan nama Cik Nils seakan ‘terkejut’ melihat basikal yang digunakan oleh KJ adalah sama seperti basikal dimiliki suaminya.
Dia nyata terkejut apabila mengetahui harga basikal itu mencecah RM45,000 sedangkan sebelum ini suaminya itu tidak pernah memberitahu mengenai harga basikal berkenaan.
“Baru perasan basikal sama… husband tak cakap pun harga RM45k,” katanya sambil turut memuatnaik tangkap layar yang menyatakan pihak Pinarello menawarkan untuk membuat penggantian semula basikal Khairy yang bernilai RM45,000.
Kelmarin, Khairy mengalami kecederaan akibat kemalangan selepas basikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lubang.
Memuat naik hantaran di akaun Instagram peribadinya, Ahli Parlimen Rembau itu berkongsi foto dan kapsyen kemalangan yang dialaminya.
Berdasarkan apa yang ditulis oleh Khairy, basikalnya dipercayai melanggar lubang menyebabkan beliau terhumban ke dalam parit. – Malaysiapost
