Penginapan di hotel dijangka meningkat tahun depan

0
1

KADAR penginapan di hotel seluruh negara dijangka terus meningkat tahun depan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir hujung tahun ini.

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata agensi itu menyasarkan peningkatan 20 peratus, namun tidak menyatakan kadar penginapan ketika ini.

Beliau berkata peningkatan tempahan juga antara lain didorong oleh pelancaran Pakej Istimewa Cuti-cuti Malaysia Bagi Penjawat Awam pada September lalu bagi menggalakkan orang ramai khususnya penjawat awam bercuti dalam negara.

“Kita minta kakitangan awam ini yang mungkin kurang terkesan dan sesetengah daripada mereka juga mendapat bonus, untuk pergi melancong dan membantu industri pelancongan negara,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 – Siri 3 di Lumut Waterfront hari ini.

Ammar turut mengingatkan pengusaha hotel dan resort supaya sentiasa melakukan proses nyahkuman bagi meningkatkan keyakinan pelancong menginap di premis mereka.

“Kita tidak berkompromi dan menegaskan prosedur operasi standard (SOP) harus sentiasa dipatuhi, sebagai contoh dalam program memancing hari ini setiap peserta perlu berjarak 1.5 meter (antara satu dengan yang lain) sehingga keseluruhan jarak pertandingan adalah 1.8 kilometer,” katanya

Mengenai program hari ini, Ammar berkata ia membantu meningkatkan tempahan hotel di daerah Manjung dengan kehadiran 965 orang kaki pancing dari seluruh negara sekali gus menggalakkan pelancongan domestik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here