UMNO menyokong cadangan pelbagai pihak supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kartel daging haram.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pihaknya berharap pihak berkuasa termasuk polis dapat menjalankan siasatan dengan segera.
“Disokong tubuh RCI Suruhanjaya Siasatan Diraja isu kartel daging tak halal jadi halal. Harap polis siasat segera.
“Isu libatkan seluruh umat Islam, mesti diselesai cepat dan banyak agensi terpalit,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Ahmad berkata, sementara siasatan dijalankan, beliau menyarankan agar orang ramai mengelak mengambil daging import.
“Sementara itu, elok kita makan daging/ayam tempatan jika was-was terhadap yang import,” katanya.
Semalam, Pemuda Umno selepas membuat laporan polis berhubung isu itu mendesak penubuhan pasukan khas bagi menyiasat kegiatan kartel penyeludupan daging import haram yang diragui status halalnya.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas itu perlu ditubuhkan segera untuk mendedahkan dan mendakwa dalang yang terlibat ke muka pengadilan.
Katanya, siasatan segera secara bersepadu harus dilakukan melalui pasukan khas melibatkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi segera mendakwa dan mendedahkan individu dan syarikat yang terlibat serta disyaki dalam segala bentuk penyelewengan termasuk melibatkan rasuah.
Semalam juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan penubuhan RCI bagi isu kartel daging haram.
Beliau berkata kewajaran penubuhan RCI itu akan dibincangkan dalam pertemuan membabitkan kementerian berkaitan dalam masa dua tiga hari ini. – Malaysiapost

