Kerajaan disyorkan tubuh Suruhanjaya Kajian Agensi Penguatkuasaan

0
1

KERAJAAN disyorkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kajian Agensi Penguatkuasaan bagi mengemukakan cadangan dan prosedur operasi standard (SOP) lebih keras terhadap kakitangan agensi penguatkuasaan yang terbabit dalam isu rasuah, cuai dan penyalahgunaan kuasa.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali, berkata, sudah tiba masanya suruhanjaya itu ditubuhkan bagi menangani isu rasuah di negara ini sehingga membawa mudarat kepada rakyat khususnya umat Islam.

Mengambil contoh beberapa negara luar seperti China, beliau berkata, negara itu menjatuhkan hukuman tembak mati terhadap perasuah.

“Di Filipina, Presiden sendiri tembak pengedar dadah dan lihat di Singapura, bagaimana berkesannya tindakan penguatkuasaan undang-undang sehingga orang tidak berani buang sampah termasuk puntung rokok.

“Di Malaysia serba boleh kerana pemimpin serba boleh termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan, apatah lagi pemimpin politik dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, isu daging haram dibungkus semula dan menguna logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuktikan satu ketirisan akibat rasuah di negara ini.

Beliau berkata, walaupun sebenarnya isu daging tidak halal ini ibarat setitik air di lautan, namun ia sekali lagi membuktikan bahawa negara masih terpalit dalam isu rasuah.

“Sebelum ini sudah banyak terdedah mengenai penipuan oleh peniaga bukan Islam dengan menggunakan nama Islam, lambang masjid, warna hijau, tulisan Jawi dan macam-macam penipuan dilakukan.

“Mereka berani kerana penguatkuasaan adalah banyak ‘tin penuh isi’ atau penuh poket,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here