Jakim tambahbaik Badan Pensijilan Halal Luar Negara

0
1

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus menggiatkan usaha dan penambahbaikan bagi memastikan Badan Pensijilan Halal Luar Negara mematuhi piawaian ditetapkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum dan sangat memandang serius isu pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging yang dilaporkan baru-baru ini.

Katanya, Jakim sudah membentangkan pelan tindakan dan akan dilaksanakan dalam bidang kuasa agensi terbabit.

“Saya dan Jakim telah mengambil inisiatif mengadakan beberapa lawatan ke Al Hilal Food Processing Sdn Bhd, Ramly Food Processing Sdn Bhd, dan HS Nada Sdn Bhd pada 28 dan 29 Disember bagi pemantauan berkala.

“Usaha ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pensijilan halal produk daging yang dihasilkan di dalam negara adalah di tahap yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid dalam Dewan Negara menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan ramai pihak.

Antaranya adalah, dakwaan bahawa kartel daging haram ini telah berada di pasaran selama 40 tahun tidak benar kerana syarikat tersebut berdaftar pada tahun 2014 dan mendapat permit import pada tahun 2017.

Menurut Jabatan Kimia, dakwaan bahawa terdapat daging kuda, babi dan kanggaru dalam kes kartel daging haram adalah tidak benar.

Daging import jenama Allana dan Ramly tidak diragui akan status halalnya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya menyambut baik hasrat KPNDHEP untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi menyelaraskan tindakan dan isu berkaitan halal, yang akan turut dianggotai Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).

“Selain itu, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal adalah langkah terbaik yang telah dipersetujui bersama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here