AKTIVITI penyeludupan daging yang didakwa dikuasai kartel serta membabitkan pemalsuan logo halal di negara ini, dipercayai mempunyai rangkaian luas dan didalangi sindiket dalam serta luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ia mengambil kira jumlah rampasan serta nilai sitaan tinggi, sekali gus memungkinkan pembabitan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.
Sehingga kini, katanya polis menjalankan siasatan terperinci di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Bahagian D5 JSJ di Bukit Aman.
“Ruang lingkup siasatan antara lain merangkumi pihak yang terbabit dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan serta penyeludupan.
“Tidak terkecuali pihak yang memanipulasi, bersuhabat serta membawa masuk daging sejuk beku melalui permit import (AP) akan turut disiasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau memaklumkan, sehingga kini 13 laporan polis daripada orang awam diterima rata-ratanya yang menzahirkan kegusaran berhubung isu terbabit yang didedahkan media tempatan.
Bagi polis katanya, isu itu dipandang serius dan pihaknya komited menanganinya melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Tindakan ke atas dalang kegiatan ini wajar kerana mencetuskan kegusaran rakyat berikutan ia membabitkan isu yang menyentuh sensitiviti agama Islam, selain mengancam ketenteraman dalam negara akibat diperdaya pihak tidak bertanggungjawab.
“Isu ini turut menjejaskan imej negara sebagai sebuah hab halal serta memberi kesan besar kepada sektor ekonomi negara ini,” katanya.
Huzir menjelaskan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam.
“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan, namun diingatkan supaya tidak menularkan berita tidak pasti kesahihannya di media sosial kerana ia boleh menyebabkan kegentaran awam dan menggugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya. – Malaysiapost

