POLIS menahan seorang bomoh kerana disyaki merogol gadis bawah umur, kononnya sebagai upacara perubatan tradisional untuk menghalau hantu di kawasan anak sungai Batang Baleh, Kapit di Sarawak, baru-baru ini.
Ketua Polis Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian berkata suspek berusia 34 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.
“Kejadian itu berlaku semasa pengadu, 40, membawa anak gadisnya berjumpa bomoh tersebut untuk berubat kerana disangka diganggu oleh hantu tempayan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.
Freddy berkata, pengadu bersama anaknya dan ditemani dua rakan dibawa ke tempat kejadian dengan menggunakan perahu oleh bomoh tersebut untuk upacara miring dan ‘bebiau’ di tepi sungai.
“Setelah selesai upacara itu, bomoh tersebut membawa anak pengadu ke tempat yang tidak boleh dilihat oleh pengadu iaitu di sebelah hulu sungai bagi tujuan menghalau hantu dari badan anak pengadu.
“Dipercayai bomoh itu telah mengambil kesempatan memperkosa mangsa ketika upacara menghalau hantu itu tanpa dilihat sesiapa,” katanya.
Beliau berkata, bomoh itu kemudian memberi amaran kepada mangsa supaya tidak menceritakan perkara tersebut kepada orang lain dengan alasan penyakitnya tidak akan sembuh jika melanggar syarat itu.
Bagaimanapun katanya, anak pengadu telah menceritakan segalanya kepada ibunya selepas pulang ke rumah.
“Susulan itu polis berjaya mengesan suspek dan seterusnya menahannya manakala dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan pakar.
“Suspek yang berasal dari Balingian direman tujuh hari sehingga 2 Januari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol,” katanya. – Malaysiapost

