
Muhammad Mustakim Ramli
“SAYA ada majoriti, layak dilantik sebagai Ketua Menteri,” kata Tan Sri Musa Aman pada 29 Julai sekali gus menjadi detik permulaan krisis politik di Sabah sehingga membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bekas Ketua Menteri Sabah itu mendakwa mempunyai 33 Akuan Bersumpah (SD) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ia bukti yang mengesahkan 33 wakil rakyat itu menarik sokongan mereka kepada Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Bagaimanapun laluan Musa untuk membentuk kerajaan baharu bukan mudah apabila rombongannya dihalang masuk ke Istana Negeri, malah Mohd Shafie membubar DUN Sabah pada 30 Julai.
“Saya berjumpa dengan Tun (Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin) dan atas kuasa Tun mengikut Perlembagaan Sabah beliau bersetuju (pembubaran DUN Sabah).
“Kita serahkan balik mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang layak membentuk kerajaan negeri yang baharu. Cerita pasal apa saja angka dan nombor, angkat sana, angkat ini, DUN sudah terbubar,” kata Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ketika itu.
Rentetan itu, Musa membawa kes pembubaran DUN Sabah ke mahkamah, namun usahanya gagal apabila ditolak.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh PRN, hari penamaan calon pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.
Menjelang PRN Sabah, pelbagai konflik timbul antaranya nasib tidak menyebelahi Musa apabila beliau tidak dicalonkan Umno, malah beliau yang pada mulanya memberi bayangan untuk bertanding di Sungai Manila, Libaran juga ‘ghaib’ apabila tidak muncul pada hari penamaan calon.
Selain Musa, nama besar lain yang turut tidak disenarai adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Malah, selepas setiap parti mengumumkan calon, berlaku pertembungan sesama sendiri antara Barisan Nasional (BN) dengan sekutunya, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di 17 daripada jumlah 73 kerusi DUN.
Kerusi itu adalah Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan and Tanjung Aru.
Bagaimanapun masalah itu diselesai secara konsensus di mana setiap parti bersetuju mengelak pertembungan sesama sendiri.
Suatu hari ketika tempoh berkempen, Mohd Shafie menegaskan beliau ‘sanggup mati’ daripada merelakan mandat rakyat diperlekeh pihak tertentu.
Kenyataan itu merujuk kepada insiden cubaan rampasan kuasa pentadbiran negeri Sabah, hingga memaksa beliau membubar DUN dan berlakunya PRN.
“Saya tahu ada kritik kita kenapa adakan pilihan raya, bimbang sangat nyawa manusia.
“Tetapi daripada kita menyerahkan kuasa kepada mereka secara itu (rampasan dan lompat Adun), tidak apa bagi kita, saya sanggup mati, ” katanya
Hari pengundian pada 26 September mencatatkan peratusan keluar mengundi 66.61 peratus, merangkumi 749,083 pengundi di kesemua 73 kerusi DUN.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata peratusan itu adalah satu pencapaian baik terutama mengambil kira keadaan Sabah yang berdepan peningkatan kes Covid-19.
Tiga parti utama yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentuk kerajaan baharu dengan majoriti tipis apabila memperoleh 38 daripada 73 kerusi DUN dengan menewaskan gabungan Warisan Plus yang memperoleh 32 kerusi.
PN memperoleh 17 kerusi DUN, manakala BN menang 14 dan PBS pula meraih kemenangan di tujuh kerusi yang ditandingi, menjadikan keseluruhan 38 kerusi DUN.
Gabungan Warisan Plus pula, iaitu Warisan menang 29 kerusi DUN, manakala PKR menang dua kerusi dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula meraih satu kerusi, dengan keseluruhan 32 kerusi.
Tiga lagi kerusi DUN dimenangi calon Bebas manakala Parti Cinta Sabah (PCS) yang diketuai Datuk Seri Anifah Aman gagal memenangi mana-mana kerusi.
Kemenangan GRS kemudian disusuli dengan persoalan siapa bakal mempimpin kerajaan Sabah yang baharu selepas timbul konflik susulan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertegas mahu kerusi itu diberi kepada Umno.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata tidak wajar menyerahkan jawatan Ketua Menteri kepada Bersatu kerana gabungan itu sudah mengorbankan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak kepada Bersatu.
Krisis itu bagaimanapun selesai apabila Umno Sabah bersetuju menyerahkan jawatan berkenaan kepada Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor.

Walaupun PRN Sabah berakhir tiga bulan lalu, namun kesan lain timbul apabila berlaku ledakan peningkatan kes Covid-19 yang diakui sendiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, hakikat itu sukar dielakkan berikutan PRN Sabah perlu diadakan seperti dijadualkan mengikut peruntukan di dalam Perlembagaan.
Beliau berkata, SPR sudah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan wabak Covid-19 tidak merebak ketika pilihan raya diadakan, malangnya ada yang tidak dipatuhi.
Malah, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak PRN Sabah menyumbang kepada gelombang ketiga penularan Covid-19.
Beliau berkata, penganjuran PRN itu dilihat menyumbang kepada penularan kes apabila ada pihak yang tidak patuh SOP. – Malaysiapost


