AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah, mengesahkan dirinya positif Covid-19.
Adhif Syan berkata, beliau pada asalnya membawa pemandu peribadinya yang demam sejak dua hari lalu ke klinik kelmarin yang mana keputusannya adalah positif.
Katanya, beliau turut menjalani pemeriksaan pada hari sama dan didapati positif walaupun tiada sebarang simptom demam dan batuk.
“Saya juga sudah mengarahkan kakitangan pejabat menjalankan pemeriksaan di klinik dan menjalani kuarantin diri,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Sementara itu, hantaran Facebooknya, Adhif Syan terbabit beberapa program pada Khamis bersama penduduk di Desa Air Hitam dan Putra Perdana di Puchong.
Semalam, beliau turut hadir bersama penduduk dalam Program Ziarah Prihatin di Kampung Olak Lempit dan Taman Bukit Changgang Jaya di Bukit Changgang, Dengkil.
Adhif berkata, ketika ini beliau masih dalam keadaan stabil dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membawanya ke hospital hari ini bagi menjalani rawatan dan kuarantin.
Katanya, KKM serta pihak berkuasa lain sudah pun dimaklumkan dan semua kontak rapat sudah dikesan dan akan disaring mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai kontak rapat dengan beliau dinasihatkan memberi kerjasama sekiranya diarahkan pihak berkuasa.”
“Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Dengkil juga akan ditutup 14 hari untuk operasi sanitasi dan saya memohon maaf sekiranya perkara ini mendatangkan kesulitan dan masalah kepada penduduk,” katanya. -Malaysiapost

