Kartel daging: ‘Isu itu tak pernah timbul sepanjang tempoh saya jadi PM’ – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

“ISU kartel daging yang diragui status halal tidak pernah dilaporkan sepanjang saya menjadi Perdana Menteri,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau yakin tindakan keras akan diambil oleh kerajaan jika terdapat aduan rasmi dilaporkan ketika itu.

“Walaupun media melaporkan ianya telah berlaku sejak 40 tahun lalu, pada ingatan saya, isu kartel daging yang diragui halalnya tidak pernah timbul sepanjang tempoh saya PM.

“Kerajaan kami juga tidak pernah menerima apa-apa aduan rasmi berhubungnya.

“Saya juga telah ‘check’ dengan menteri-menteri berkenaan pada masa itu dan mereka juga mengesahkan tiada aduan pernah diterima dan media juga tak pernah timbulkan isu ini sepanjang masa saya PM,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Najib lagi, isu keraguan status halal daging import itu sangat serius, dan aduan rasmi yang melaporkan kegiatan berkenaan muncul pada zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Oleh sebab isunya amat berat, sudah tentu kerajaan BN dahulu akan mengambil tindakan jika kita menerima aduan rasmi atau matlumat.

“Namun tidak pernah ada aduan rasmi diterima dan media juga tidak pernah timbulkan isu ini masa itu.

“Setelah dikaji, rupanya isu ini pertama kali dilaporkan pada bulan Oktober 2019 tahun lepas,” katanya.

Bagaimanapun, menteri terlibat semasa zaman PH menyangkal dakwaan itu termasuk Datuk Dr Mujahid Yusof dan timbalannya, Fuziah Salleh.

“Masa itu, ketua SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) lantikan politik PH, Latheefa Koya pula janji mereka akan siasat dan beri ‘update’ kemudian.

“Selepas itu, isu ini tenggelam sekali lagi sehingga minggu lepas dan Lateefah Koya juga tidak pernah beri apa-apa ‘update’ berhubung isu ini sehingga dia letak jawatan 4 bulan kemudian apabila kerajaan PH tumbang,” kata Najib.

Bagaimanapun, katanya, semalam Mujahid menjelaskan bahawa SPRM tidak pernah campur tangan atau siasat isu ini semasa beliau menteri.

“Sebab itu, kita patut tanya Latheefa Koya, kekanda dan Fuziah apa status siasatan berhubung kartel daging ini sepanjang tempoh 4 bulan mereka menyiasat,” katanya.

Sebelum ini, media mendedahkan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan.

Modus operandi itu antara lain dipercayai tindakan mengupah pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here