SERAMAI 18 peserta yang terbabit dalam aktiviti mendaki Hutan Simpan Panti, di Kota Tinggi tanpa permit, pada 20 Disember lalu ‘diburu’ Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ).
JPNJ menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan, individu berkenaan sedang dikesan susulan aduan awam yang diterima pihaknya melalui e-emel.
“Hasil semakan jabatan mendapati gambar aktiviti dimuatnaik ke Facebook di atas nama Austin Glenn – Hiking Johor dengan anggaran 18 peserta.
“Susulan itu, pihak jabatan membuat satu laporan polis berkaitan aduan dan memohon kepada 18 peserta itu untuk hadir bagi memberikan keterangan kepada Pejabat Renjer Hutan Kota Tinggi.
“Untuk makluman, kawasan pendakian dan rekreasi di Hutan Simpan Panti adalah di bawah pengurusan atau seliaan JPNJ.
“Disyaki peserta itu memasuki kawasan ini tanpa permit”, kata kenyataan itu.
JPNJ memohon peserta terbabit tampil memberikan keterangan dan rakaman percakapan dalam tempoh satu minggu sebelum tindakan lanjut diambil mengikut undang-undang.
Katanya, kemasukan ke kawasan tanpa Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal adalah salah mengikut Seksyen 47 Akta 313.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
“Kami menasihatkan aktiviti pendakian dan rekreasi sedemikian perlu mendapatkan mendapatkan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal,” katanya.
Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Datuk Salim Aman mengesahkan kejadian. -Malaysiapost

