Doktor KKM positif Covid-19: Dr Noor Hisham beri amaran jangan tipu ‘frontliners’

0
1

Nurul Huda Abhar

“JANGAN tipu frontliners. Kami juga perlu dilindungi, kami ada keluarga, ada rakan-rakan. Jangan aniaya frontliners”.

Itu amaran Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas berkongsi catatan seorang pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjadi mangsa jangkitan Covid-19 akibat tindakan pesakit yang menipu maklumat.

Menerusi perkongsian akaun Facebook bernama Nur Marini Zainal, seorang pesakit datang ke hospital untuk menjalani pemeriksaan imbasan CT (CT scan), dan bacaan suhu badan yang diambil normal serta pesakit itu mengaku dirinya sihat.

Dr Nur Marini merupakan doktor yang ditugaskan menyediakan pesakit itu dengan memberi penerangan prosedur, pemasangan jarum branula dan sebagainya.

“Terkejutnya kami bila melihat gambar paru-parunya di CT sama seperti paru-paru pesakit Covid-19.

“Bila ditanya semula, akhirnya dia mengaku yang dia batuk dan demam selama seminggu, tetapi berasa sedikit sihat untuk datang ke temujanji CT.

“Ternyata tindakannya menyusahkan orang lain. Pesakit disahkan positif covid selepas 2 hari,” tulisnya.

Menurut Dr Nur Marini, pada awalnya dia dikategorikan sebagai kontak risiko rendah, kerana dia dan pesakit itu memakai pelitup muka jenis ‘surgical’ serta pesakit tidak batuk dihadapanya.

Yang merisaukannya adalah jarak fizikal tidak dapat dielakkan kerana terpaksa menyediakan suntikan IV sebelum proses CT scan, malah masa kontak juga hanya lebih kurang lima hingga lima belas minit di samping prosedur operasi standard (SOP) kebersihan yang betul.

Oleh itu, beliau diberitahu bahawa tiada kuarantin atau ujian swab diperlukan, namun hatinya kurang senang lantas mengambil keputusan untuk menjalani swab di hospital lain.

“Saya mengambil keputusan untuk kuarantin sendiri walaupun tidak bergejala. Namun sempat bekerja selama dua hari di jabatan, sebelum kuarantin.

“Keputusan swab mendapati saya positif. Saya menangis semasa dapat tahu sebab sedih terpaksa terpisah dengan anak-anak dan suami.

“Risau terhadap keluarga dan rakan sekerja yang mungkin saya jangkiti…kecewa terhadap sikap pesakit saya,” ujarnya lagi. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here