PROGRAM Vokal Mania malam tadi telah menobatkan Aina Abdul sebagai Juara Idol, manakala Aisha Retno menungguli Juara Rookie, di pentas akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam.
Selepas sembilan minggu bersiaran, para pemenang yang dipilih adalah seperti sasaran penonton dan yang kerap disebut bakal memenangi dua kerusi utama itu.
Kedua-dua pemenang masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 bagi ‘Rookie’ dan RM50,000 (Idol), kerusi ‘gaming’ berserta trofi.
Selain Aisha, tiga lagi Rookie yang bertanding di pentas akhir yang berlangsung malam tadi itu ialah Alif Kadim, Danial Chuer dan Eranzz Lambert.
Di samping itu, keempat-empat mereka menentang empat Idol yang bertanding iaitu Tomok, Lan Solo dan Indah Ruhaila selain Aina.
Kesemua peserta Rookie dan Idol memulakan pusingan pertama dengan persembahan solo yang menampilkan dua lagu medley.
Seterusnya, Rookie tampil dalam pusingan ‘battle’ menentang barisan Idol sebelum berentap dalam pusingan ‘battle’ seterusnya menentang sesama Rookie.
Barisan juri tetap, Misha Omar dan Yusry Abdul Halim serta Adibah Noor pula juri jemputan yang mengisi 70 peratus daripada markah keseluruhan, sementara baki 30 peratus lagi melalui undian penonton di www.xtra.com.my/vokalmania.
Sedikit kelainan untuk konsert akhir Vokal Mania ini apabila pemenang pusingan ‘battle’ Rookie VS Idol akan merampas 30 peratus daripada jumlah undian pihak lawannya untuk ditambah ke jumlah pemarkahan mereka. -Malaysiapost

