KERAJAAN tidak perlu tunduk dengan desakan pembangkang yang mahu kos pembelian vaksin Covid-19 didedahkan kepada umum.
Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM), Datuk Razali Idris, berkata pendedahan kos vaksin kepada umum boleh menjejaskan hubungan antara syarikat pembekal dan kerajaan.
Beliau berkata, kedua-dua pihak tentunya sudah memeterai perjanjian termasuk tidak mendedahkan kos kepada umum.
“Kerajaan wajar jadikan kes di Brussels apabila seorang menteri Belgium secara tidak sengaja mendedahkan rahsia komersial sensitif berkaitan harga seperti dipersetujui Kesatuan Eropah (EU) untuk vaksin Covid-19 sehingga membangkitkan perasaan kurang senang syarikat farmaseutikal seperti Pfizer.
“Kerajaan tidak perlu tunduk kepada desakan pemimpin pembangkang, sebaliknya perlu pertahankan perjanjian, ” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Razali mengulas desakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang supaya kerajaan mendedahkan kos dibayar kerajaan kepada syarikat farmaseutikal Pfizer untuk pembelian vaksin Covid-19.
Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata bersedia memberi penerangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perjanjian yang dibuat dengan pengeluar vaksin Covid-19, jika perjanjian kerahsiaan (NDA) dipersetujui. -Malaysiapost

