Nurul Huda Abhar
“INI ternyata satu kegiatan yang tidak bermoral,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendedahan isu kartel daging yang didakwa turut didalangi kakitangan agensi kerajaan.
Menurutnya, tatkala semua pihak pertingkatkan segala usaha dan upaya dalam memerangi rasuah dan kebobrokan, namun kakitangan kerajaan yang dikaitkan dengan isu itu begitu mudah dibeli sekali gus mengabaikan tanggungjawab mereka kepada negara dan rakyat.
“Skandal ini ternyata telah merobek reputasi dan imej institusi itu yang diamanahkan memulia dan meningkatkan darjat Islam.
“Meski dikurniakan peruntukan yang bukan kecil hampir setiap tahun, namun skandal ini telah merosakkan kepercayaan umum kepada institusi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar juga menggesa semua isu berkaitan dengan penyelewengan tugas dan masalah integriti dapat dihentikan.
“Saya juga mendesak kerajaan dan kementerian untuk segera menjalankan siasatan rapi, cekap, dan telus serta mengheret dalang ke muka pengadilan.,” ujarnya.
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan menyiasat syarikat tempatan yang disyaki terbabit dalam kartel daging haram, di bawah dua kesalahan cap dagangan.
Ianya berhubung dengan laporan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di gudang di Senai, Johor. -Malaysiapost

