TIGA pekerja pembersihan maut selepas dipercayai terhidu gas dari loji kumbahan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, petang tadi.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Penguasa Bomba Muhammad Ridhwan Kamarulzaman berkata, empat puluh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Dalam, (BBP) Jalan Hang Tuah dan (BBP) Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 2.41 petang.
“Kejadian melibatkan enam mangsa lelaki dewasa yang merupakan kontraktor pembersihan.
“Mereka telah mengalami masalah pernafasan kerana terhidu gas dari loji kumbahan ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di dalam loji tersebut.
“Dua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari loji sebelum pihak bomba tiba dan empat orang mangsa masih berada di dalam tangki loji tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Difahamkan, seorang daripada mangsa yang terlibat berjaya diselamatkan manakala tiga yang lain meninggal dunia di tempat kejadian.
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terpaksa dikerahkan untuk menaikan kesemua mangsa yang berada di dalam loji berkenaan. – Malaysiapost
Foto: Skuad penyelamat DBKL

