Muhammad Mustakim Ramli
TUMBANGNYA kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat, maka kedudukan kerajaan di beberapa negeri turut terancam hingga empat negeri beralih pucuk pimpinan.
Johor, Melaka dan Kedah menyaksikan perubahan itu dan paling mencuri perhatian pastinya Perak yang bertukar kepimpinan dua kali, baru-baru ini.
Keluarnya Bersatu dari PH, menjadikan Johor negeri pertama memulakan langkah apabila Menteri Besarnya waktu itu, Datuk Dr Sahruddin Jamal mempunyai bilangan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu hasil gabungan Bersatu, Umno, PAS dan MIC.
Pada 27 Februari, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berpuas hati bahawa gabungan baharu itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah ketika itu dilaporkan berkata 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor memilih gabungan baharu, manakala 26 Adun lagi memilih PH berdasarkan sesi temu bual Sultan Ibrahim bersama 54 Adun secara berperingkat.
Namun, katanya, Adun Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub daripada Amanah dan Adun Puteri Wangsa yang juga Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang tidak hadir temu bual tersebut.
Bagaimanapun, Dr Saruddin dari Bersatu tidak memimpin kerajaan Johor sebaliknya Ahli Dewan Undangan (Adun) Benut dari Umno, Datuk Hasni Mohammad dilantik Menteri Besar Johor ke-18 pada 28 Februari.

Melaka kemudian menyusuri Johor pada 2 Mac 2020 apabila Barisan Nasional (BN) Melaka mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu menerusi gabungan bersama Bersatu
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, ketika mengumumkan perkara itu, turut mengesahkan penyertaan Adun Rembia daripada PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Adun Pengkalan Batu daripada DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee, dalam gabungan PN.
BN Melaka yang memiliki 13 Adun, diperkukuhkan dengan penyertaan dua Adun Bersatu iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas), menjadikan sokongan kepada PN berjumlah 17 daripada 28 Adun di negeri itu.
Rentetan daripada itu, Adun Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali, dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Melaka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 pada 9 Mac 2020.
Dua Adun PKR di Kedah iaitu Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) mengumumkan keluar parti dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat pada 12 Mei menyebabkan pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kedah goyah.
Memburukan lagi keadaan, empat Adun Bersatu yang sebelum itu menyatakan sokongan kepada beliau turut beralih arah menyokong Muhyiddin, menyebabkan Mukhriz tumbang kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah.
Empat wakil Bersatu yang memberi sokongan kepada PN Kedah adalah Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; Adun Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadian Saad; Adun Kuah, Mohd Firdaus Ahmad dan Adun Ayer Hangat, Juhari Bulat.
Mukhriz melepaskan jawatan Menteri Besar pada 17 Mei, selepas hilang majoriti sokongan Adun dan pada hari sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-14.
Sebelum Kerajaan PH Kedah tumbang, Perak negeri ketiga mempunyai kerajaan baru menerusi PN pada 9 Mac selepas Johor dan Melaka.
Menteri Besar Perak pada waktu itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan PN mengambil alih pentadbiran Perak menerusi gabungan 32 Adun, terdiri empat Bersatu, 25 Umno serta tiga Adun PAS.
Walaupun mempunyai kerusi paling sedikit dalam gabungan berkenaan, Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang dipilih semula sebagai Menteri Besar dan mengangkat sumpah pada 13 Mac selepas melepaskan jawatan itu pada 10 Mac.
Kurang sembilan bulan mengetuai kerajaan PN Perak, Timbalan Presiden Bersatu itu ditujukkan jalan keluar sebagai Menteri Besar selepas gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya pada Sidang Dun, 4 Disember.
Krisis politik di negeri itu menyaksikan pelbagai ‘drama luar jangka’ berlaku termasuk kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak menolak kemungkinan parti itu bekerjasama dengan PH termasuk DAP di Perak.
Malah, DAP juga memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan Umno, bagi membentuk kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.
Bagaimanapun, kejutan untuk melihat ‘drama’ Umno dan DAP bekerjasama sekadar mimpi, apabila pimpinan tertinggi Umno, Bersatu dan PAS berbincang dan bersetuju menamakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar.
Dalam perbincangan itu, Ahmad Zahid menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak Adun-Adun BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku, selain ketiga-tiga parti turut bersepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan PN di Perak dan di peringkat nasional.
Saarani yang juga Adun Kota Tampan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-14 di Istana Iskandariah, Ipoh pada 10 Disember.

Situasi di negeri itu mendukacitakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bertitah kemelut kepimpinan kerajaan negeri adalah cerminan kegagalan kepimpinan ahli politik.
Titah baginda, sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika beliau mendapat jawatan, kuasa, kekayaan dan harta, sehingga lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak. – Malaysiapost



