
KITA telah hampir ke penghujung tahun 2020. Tidak dapat dinafikan, bahawa tahun ini merupakan tahun yang sangat mencabar buat kita semua.
Bermacam peristiwa suka dan duka telah tercatat menjadi sejarah yang akan menjadi kenangan dan teladan.
Dalam khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk: ‘Muhasabah dan Muraqabah Menuju Tahun Baru’ menjelaskan, pandemik Covid-19 yang masih belum reda hingga ke hari ini khususnya merupakan suatu ujian besar.
Ia telah menjejaskan pelbagai kegiatan seharian kita malah turut memberi kesan kepada kegiatan ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya.
Sebagai orang yang beriman kita semestinya perlu meyakini bahawa segala yang berlaku merupakan ketentuan Allah SWT yang perlu dimuhasabah agar kita dapat merencana sesuatu yang lebih baik untuk masa akan datang.
Sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan
memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari
akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”
Sebagai khalifah di muka bumi ini kita perlu sentiasa bersedia dengan apa jua ujian dan ketentuan yang bakal berlaku.
Persediaan tersebut bukanlah semata-mata menunggu sahaja apa-apa perkara berlaku kemudian pasrah.
Persediaan yang dimaksudkan ialah
dengan kita mempersiapkan suatu perancangan yang berasaskan ilmu pengetahuan bagi menata kelola urusan kehidupan kita supaya setiap tindakan dan keputusan yang dibuat dalam kehidupan ini adalah selari dengan syariat Islam.
Tanpa ilmu dan perancangan yang teliti ini, pastinya kita akan mudah sekali tergelincir atau tersasar dari matlamat sebenar kehidupan kita di dunia ini.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anbiya’ ayat 1:
Maksudnya: “Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya
sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.”
Oleh itu, sebagai insan kita perlu selalu bermuhasabah atas setiap tindakan bagi
mengelakkan mengulangi sebarang kesilapan dan kecuaian.
Dalam masa yang sama juga, kita perlu meningkatkan muraqabah yakni mematerikan perasaan keagungan Allah SWT pada setiap waktu dan keadaan.
Ia merupakan suatu perasaan yang sentiasa hadir dalam keyakinan bahawa setiap kelakuan bahkan apa yang berada di dalam hati dan fikiran kita adalah tidak terlepas daripada Ilmu Allah SWT.
Ayuh kita berazam supaya kita dapat melazimi kedua-dua tindakan ini (yakni muhasabah dan muraqabah) supaya tahun baharu dan kehidupan mendatang terhindar daripada kelalaian, kealpaan dan kegagalan.
Ingatlah wahai saudaraku. Muhasabah (perhitungan) di dunia ini merupakan persediaan awal kepada Hisab (yakni perhitungan) yang sebenar di akhirat.
Di akhirat kelak, kita semua akan dihisab dan dipertanggungjawabkan atas pendengaran, penglihatan, serta seluruh tindakan dari anggota badan kita.
Justeru, rancanglah dengan baik segala
tindakan. Sentiasalah bermuhasabah dan tingkatkan muraqabah agar diri kita sentiasa terpandu atas jalan yang diredhai Allah SWT.
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Surah al-Anbiya’ ayat 47)Ya Allah! Dengan sifat-Mu Yang Maha Pemurah dan Maha Mendengar! Engkaulah Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap makhluk. Justeru, kami hamba-Mu yang lemah merayu kepada-Mu agar Engkau angkat dan hilangkan segera wabak penyakit Covid-19 yang sedang melanda kami agar dapat kami melaksanakan syiar-Mu dengan sempurna.
Hanya kepada Engkau ya Allah! Tempat kami merintih dan bermunajat.
Ya Allah! Jadikanlah kami dan keturunan kami orang-orang yang istiqamah mendirikan solat secara berjemaah.
Sesungguhnya hanya kepada-Mu jua Ya Allah, tempat kami mengadu dan memohon pertolongan. – Malaysiapost
