‘NEVERLAND’ iatu kawasan ladang yang pernah dimiliki Raja Pop, Michael Jackson
di California akhirnya dijual kepada jutawan Amerika Syarikat (AS), Ron Burkle.
Jurucakap jutawan itu berkata, ladang berkenaa dibeli pada harga AS$22 juta (RM89 juta), dengan kadar diskaun tinggi.
Memetik laporan AFP, mendiang Jackson mengubah suai kawasan berpagar rumahnya kepada lokasi istirahat bertemakan kisah dongeng lengkap dengan permainan di taman ria seperti roda Ferris dan laluan kereta mainan.
Jackson juga ketika hayatnya kerap menghasilkan lagu hitsnya di lokasi berkenaan.
Jackson juga dilaporkan sering mengajak kanak-kanak untuk melawat dan tidur di situ sehingga timbulnya dakwaan beliau melakukan kegiatan mencabul.
Bagaimanapun kawasan itu dijenamakan semula sebagai ‘Sycamore Valley Ranch’ selepas kematian Jackson pada 2009.
Jurucakap Burkle berkata, ahli perniagaan berpangkalan di Montana itu yang terbabit dalam perniagaan pasar raya dan industri hiburan membeli kawasan itu sebagai peluang pembangunan hartanah.
Katanya, Burkle berkunjung ke California untuk meninjau prospek hartanah berdekatan bagi membina cawangan baharu rangkaian kelab Soho House sebelum berminat dengan kawasan itu dan menghubungi pemiliknya.
Pada 2015, kawasan itu dijual pada harga AS$100 juta (RM406 juta), sekali gus menunjukkan ia mengalami penurunan harga berbanding yang dibeli kini berdasarkan sumber yang rapat dengan perjanjian itu.
Jackson membeli hartanah itu pada harga AS$19.5 (RM19 juta) pada sekitar 1980-an.
Ladang seluas 1,100 hektar itu terletak di 65 kilometer dari Santa Barbara dan dilengkapi dengan kediaman enam bilik, tiga rumah tamu, tasik dan air terjun, gelanggang tenis dan kawasan ternakan haiwan.
Kawasan itu diserbu pihak berkuasa pada 2003 selepas laporan kes penganiayaan kanak-kanak membabitkan Jackson sebelum merampas banyak koleksi pornografi dan gambar kanak-kanak bogel.
Bagaimanapun, Jackson dibebaskan daripada tuduhan itu pada 2005. -Malaysiapost

