PM sedih pemergian Mohamad Aziz

0
2

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan perasaan sedih dengan pemergian bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Tan Sri Mohamad Aziz malam tadi.

Muhyiddin menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat baik dan mempunyai hubungan yang panjang dengannya sebagai wakil rakyat Johor.

“Saya merasa amat sedih apabila mendapat perkhabaran yang sahabat baik saya Tan Sri Mohamad Aziz telah meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, lewat malam tadi.

“Allahyarham yang merupakan bekas Ahli Parlimen Sri Gading memang akrab dengan saya kerana hubungan kami yang panjang sebagai wakil rakyat Johor,” katanya di Facebook hari ini

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, sebagai sahabat, Allahyarham sering memberikan pandangan dan nasihat dari sisi politik melalui penilaiannya.

“Sikapnya yang tegas, membuatkan beliau dihormati dan disegani ramai. Malahan beliau banyak memberikan inspirasi dalam arena politik tanah air.

“Allahyarham akan terus dikenang sebagai seorang sahabat yang selalu mengambil berat tentang rakan-rakan dan sentiasa memberikan nasihat yang tidak ternilai harganya,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau dan keluarga
mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang.

“Saya mendoakan agar mereka tabah menghadapi detik memilukan ini. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada negara dan rakyat Malaysia, terutama di Sri Gading.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Mohamad meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, Johor, malam tadi.

Difahamkan, Allahyarham yang berusia 80 tahun, meninggal dunia jam 9.50 malam akibat sakit buah pinggang dan selamat dikebumikan jam 10 pagi tadi. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here