SEORANG penternak ayam kerugian RM202,909 selepas diperdaya individu mengakui sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa lelaki berusia 32 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah itu ditipu suspek dengan mengatakan mempunyai tunggakan cukai syarikat.
Katanya, mangsa menerima panggilan dari seorang wanita pada 21 Disember lalu dan memaklumkan tunggakan cukai yang belum dijelaskannya.
“Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu sebelum panggilannya disambung kepada kononnya ‘pegawai polis berpangkat Inspektor’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk membuat pengesahan.
“Panggilan itu kemudian disambung pula kepada seorang lagi suspek lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat “Datuk” dari IPK Pahang dan kononnya pegawai atasan kepada Inspektor terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Elias berkata, suspek meminta mangsa membuka satu aplikasi WhatsApp sebelum mangsa menerima satu mesej dengan notis mendakwa dia terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan jualan dadah.
“Mangsa kemudian diarah membuka pautan URL yang diberikan untuk mengisi maklumat peribadi untuk siasatan lanjut.
“Mangsa tanpa membuat semakan terlebih dulu terus membuka pautan URL berkenaan dan mengisi butiran peribadi serta butiran syarikatnya.
“Namun pada hari sama juga, mangsa mengesyaki sesuatu mencurigakan terus membuat semakan baki akaun syarikatnya dan mendapati terdapat lapan kali pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM202,909 kepada enam akaun bank berbeza,” katanya.
Menurutnya, susulan itu mangsa membuat laporan polis di Baling semalam dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Justeru itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan panggilan diterima terutama yang mengaku dari agensi kerajaan seperti mahkamah, LHDN, PDRM, Kastam, atau dari pihak bank, bagi meminta maklumat akaun bank bagi tujuan siasatan atau lain-lain.
“Ini kerana sindiket jenayah selalu menggunakan modus operandi itu yang bertujuan untuk penyamaran dan menipu mangsa mereka.
“Polis turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui http://ccid.rmpgov.my/semakmule/ dan tidak mempercayai orang yang menyamar sebagai pihak penguatkuasa,” katanya.
Selain itu, Elias turut memaklumkan maklumat dan modus operandi jenayah komersil terkini boleh didapati melalui https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

