PENDUDUK Kampung Jalan Atas Paloh, Kota Bharu, Kelantan, yang rumahnya dirobohkan kerajaan negeri dengan pampasan RM1,000 memfailkan saman bagi menuntut pampasan setimpal.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali, berkata saman itu difailkan bagi menuntut pampasan setimpal dengan nilai yang sepatutnya diterima penduduk.
Dakwanya, kerajaan Kelantan hanya membayar RM500 untuk sebuah rumah yang diroboh dan RM500 lagi selepas ia dirobohkan.
Justeru, khidmat peguam Khairul Azam dan Harmie Yusuf digunakan untuk saman terbabit.
“Inilah kezaliman yang telah berlaku kepada mereka. Dengan itu parti Putra telah melantik dua peguam daripada KL (Kuala Lumpur) iaitu Tuan Khairul Azam dan Harmie Yusuf,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan, sebanyak 64 rumah di kampung terbabit diroboh oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Namun tindakan hanya membayar pampasan sebanyak RM1,000 untuk setiap rumah yang dirobohkan mengundang kemarahan penduduk. – Malaysiapost

