Muhammad Mustakim Ramli
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan rakyat sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan susulan kemungkinan ramai akan bercuti menyambut Hari Natal, esok.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, dalam meraikan sambutan Hari Natal dengan norma baharu serta mereka yang turut sama bercuti perlu diingatkan untuk mengurangkan risiko jangkitan antara ahli keluarga dan rakan.
“Elakkan sembang dari jarak dekat dan menggunakan pelitup muka. Elakkan dari berkumpul dalam jangka masa yang lama kerana akan meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19.
“Selain itu, hendaklah sentiasa amalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencuci tangan dan juga menjaga kebersihan persekitaran,” katanya menerusi kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata, sejajar dengan perkembangan teknologi telekomunikasi terkini, rakyat digalakkan memanfaatkan panggilan video sebagai gantian amalan ziarah menziarahi.
Katanya, dengan amalan baharu ini, semua pihak dapat sama-sama melindungi warga tua dan kumpulan rentan daripada dijangkiti Covid-19.
“Berikutan situasi peningkatan kes yang mencapai jumlah kumulatif sebanyak 100,318 kes, masyarakat dinasihatkan lebih berwaspada dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.
“Semoga kelainan yang dialami pada sambutan perayaan kali ini menjadi sebuah memori untuk dikenang di masa hadapan. Kita mesti menang!,” katanya.-Malaysiapost

