Muhyiddin puas hati prestasi AHB

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan prestasi Unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang mencapai pulangan bersih selepas zakat sebanyak 5.0 peratus setahun pada tahun ini walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar.

Perdana Menteri berkata sejak dilancarkan pada akhir 2010, AHB telah mengagihkan dividen terkumpul sejumlah RM1.41 bilion kepada 75,000 pelabur runcit Bumiputera dan 14 institusi Bumiputera.

“Saya ingin berkongsi kegembiraan apabila dimaklumkan RM31.4 juta diperuntukkan pada 2020 bagi melaksanakan ‘Rents Relief Program’.

“Ia bertujuan membantu penyewa-penyewa di bangunan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), iaitu entiti operasi Yayasan Hartanah Bumiputera (YAHB) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sehingga kini PHB memiliki 23 bangunan di lokasi strategik, terdiri pejabat, pusat beli-belah, gudang logistik dan hospital swasta bagi pihak pelabur Bumiputera daripada semua lapisan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau amat yakin pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan PHB akan terus fokus dalam mendukung amanah serta mandatnya untuk terus meningkatkan keupayaan dan kekayaan ekonomi Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial di Malaysia.

Selain itu, katanya, meneruskan kemudahan penyertaan Bumiputera dalam pelaburan hartanah menerusi pulangan yang stabil dan berdaya saing.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang YAHB secara dalam talian, mesyuarat kali pertama sejak dilantik selaku Pengerusi YAHB pada 16 Oktober lalu.

Mesyuarat diadakan bagi membincangkan mengenai prestasi keseluruhan Unit AHB, mekanisme pengagihan kekayaan, dan PHB, iaitu entiti operasi YAHB.

Turut serta dalam mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta pemegang amanah YAHB yang lain iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi PHB, Tan Sri Md Nor Yusof; Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mahmud Fauzi Muda dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohd Fadzil Maruwan.

Dalam mesyuarat itu, kata Perdana Menteri, beliau dimaklumkan mengenai prestasi tahunan YAHB di mana objektif utama penubuhannya adalah bagi memacu tindakan afirmatif dalam agenda memperkasa ekonomi dan merangsang pemilikan Bumiputera dalam hartanah komersial. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here