Bayar zakat melalui Shopee, pihak berkuasa agama negeri putuskan – Menteri

0
1

PIHAK berkuasa agama di negeri yang memutuskan penggunaan platform Shopee untuk pembayaran zakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia diputuskan Pejabat Mufti di negeri berkenaan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak ada kuasa dalam hal ini. Ia bergantung kepada majlis agama negeri masing-masing.

“Soal pihak yang boleh dilantik sebagai ejen zakat, wakil dan seumpamanya itu biasanya (mengikut) pengalaman saya ketika menjadi Ahli Jawatankuasa Fatwa dan Mufti, dapat kelulusan pihak berkuasa negeri iaitu Jabatan Mufti,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian mengulas pertikaian sesetengah pihak apabila Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengumumkan bayaran zakat boleh dibuat menggunakan platform beli-belah dalam talian Shopee bermula Jumaat lalu.

Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin, mempersoal tindakan pusat zakat melantik Shopee bagi memungut zakat umat Islam.

Beliau turut mempersoalkan peranan sebenar portal e-dagang itu membabitkan proses memungut zakat.

Antara pusat pungutan zakat yang menggunakan perkhidmatan berkenaan adalah PPZ, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here