Sesi rakam keterangan Guan Eng esok, ditunda tahun depan

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng memaklumkan sesi rakaman keterangannya kepada polis yang sepatutnya dijalankan esok, dibatalkan.

Guan Eng berkata, perkara berkenaan dimaklumkan oleh peguamnya yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, satu tarikh baru akan ditetapkan tahun hadapan bagi merakam keterangan berhubung kenyataan medianya yang dilakukan pada 2019.

“Saya telah dimaklumkan oleh peguam saya dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo bahawa pihak polis telah membatalkan sesi merakam kenyataan polis saya besok dan akan menetapkan satu tarikh baru pada tahun hadapan.

“Terdahulu pihak polis telah menetapkan 10 pagi 24 Disember 2020 di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut, Pulau Pinang untuk sesi merakam kenyataan saya berkaitan dua kenyataan media oleh saya pada 2019,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah memohon maaf kepadanya di atas kekhilafan pegawainya yang menetapkan sesi rakaman terbabit pada hari khamis, sehari sebelum Krismas.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan murah hati telah memohon maaf dalam satu pesanan teks kepada saya atas kekhilafan pegawai beliau menetapkan sesi merakam kenyataan saya pada sehari sebelum Krismas.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau atas ucapan Krismas beliau kepada saya dan keluarga,” katanya.

Semalam, media melaporkan Guan Eng akan ‘menghadap’ polis esok bagi siasatan berkaitan dua kenyataan media berkenaan.

Namun, setakat ini masih belum jelas kenyataan media yang disebut oleh Guan Eng itu. -Malaysiapost

Berita berkaitan: Dipanggil polis Khamis ini, Guan Eng anggap ia hadiah Krismas dari PN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here