Perjalanan feri ke Langkawi akan ditambah

0
1

PERJALANAN feri ke Langkawi akan ditambah susulan peningkatan mendadak jumlah penumpang kepada kira-kira 40,000 orang pada hujung minggu sejak awal bulan ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, berkata jumlah penumpang didapati meningkat lebih 14 kali ganda berbanding tempoh sama pada bulan lalu iaitu kira-kira 2,800 orang.

“Langkawi kembali meriah apabila orang ramai mula berkunjung ke pulau peranginan ini selepas kerajaan membenarkan rentas negeri pada awal bulan ini.

“Bagi menampung jumlah penumpang, kita bersedia untuk menambah kekerapan operasi feri iaitu daripada enam perjalanan pergi balik Kuala Kedah – Langkawi dan lapan perjalanan pergi balik Kuala Perlis – Langkawi sehingga 12 perjalanan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Konsortium Ferry Line Venture menggabungkan tujuh syarikat yang mempunyai 48 feri.

Beliau berkata, operasi feri di dua terminal iaitu di Kuala Kedah dan Kuala Perlis mampu menampung lebih 20,000 penumpang sehari.

“Kebanyakan penumpang didapati adalah dari Johor diikuti dari Perak, Kedah dan Kelantan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Baharin berkata, perjalanan feri masih boleh ditingkatkan, namun, kerajaan perlu menyelesaikan masalah laut cetek di alur pelayaran berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis terlebih dahulu.

“Operasi feri kerap terganggu disebabkan masalah untuk menghampiri terminal setiap kali berlaku air surut,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, pembelian tiket feri secara atas talian juga meningkat secara mendadak iaitu mencecah 86 peratus daripada jumlah keseluruhan tiket yang dijual.

“Perubahan positif itu juga mampu mengurangkan kesesakan di kaunter pembelian tiket selain lebih mudah dan cepat,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here