MUDA pecahkan lagi undi orang Melayu

0
1

KEWUJUDAN parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan menyebabkan undi orang Melayu terus berpecah dan akan memberi keuntungan kepada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris mendakwa orang Melayu telah mempunyai banyak parti sebagai wadah suara mereka seperti Umno, PAS, Bersatu, Amanah dan tentunya kehadiran MUDA menyebabkan undi Melayu terus berpecah menjadi kecil

“DAP tahu mereka telah hilang sokongan Melayu dan DAP tahu orang Melayu tidak akan menyokong mereka dan juga parti politik lain yang bersama mereka.

“Jadi fokus DAP PRU-15 hanyalah pada kerusi yang mereka telah menang pada PRU-14 lalu dan cuba pertahankannya dari tewas pada PRU-15 akan datang.

“Maka sebab itu lah MUDA yang diketuai Syed Saddiq muncul. Muncul kerana MUDA perlu diberikan peranan untuk memecah belahkan pengundi muda agar pengundi muda pada PRU-15 akan datang terpecah kepada satu lagi entiti yang bukan DAP bukan BN bukan PN,” katanya yang dipetik daripada portal Suara Merdeka.

Beliau berkata, pada PRU-14 undi masyarakat Melayu pecah melalui Bersatu, PKR dan Umno.

“22 bulan PH mentadbir kerajaan orang Melayu baru sedar bahayanya DAP yang berkuasa di dalam kerajaan.

“Hari ini, orang Melayu buat keputusan tolak DAP dan tidak akan memberikan ruang kepada DAP dan mana mana yang bersekutu dengan DAP, ” katanya.

MUDA pada 10 Oktober lalu mengumumkan parti itu mempunyai 13 pengasas bersama termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dua hari lalu MUDA menyerahkan surat tuntutan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi menggesa pendaftarannya sebagai parti politik diluluskan dalam tempoh tujuh hari.

Proses pendaftaran MUDA sebagai sebuah parti politik yang sah dibuat sejak 17 September namun hingga hari ini barisan penaja MUDA masih belum menerima apa-apa perkembangan terkini berkenaan pendaftaran tersebut. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here