Roboh jika langgar undang-undang – MB Kedah

0
1
ALOR SETAR, 12 Mei -- Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri DUN Muhammad Sanusi Md Nor mempengerusikan sidang media khas berhubung isu politik Kedah di Kompleks PAS Kota Sarang Semut di sini --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KERAJAAN Kedah tidak akan memberi jaminan untuk tidak merobohkan sebarang struktur bangunan, premis atau rumah ibadat yang dibina atas tanah bukan milik persendirian dan bertentangan undang-undang.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata sebagai pemimpin negeri, beliau tidak mempunyai kuasa untuk membiarkan pihak tertentu melanggar akta yang sudah termaktub.

“Kalau saya jamin satu struktur tidak akan dirobohkan pada hal ia dibina atas tanah milik orang atau dibina di padang permainan kanak-kanak atau dibina di pinggir jalan menghalang lalu lintas, ia jelas bertentangan dengan Akta Jalan Parit dan Tali Air (Akta 133).

“Macam mana seorang menteri besar boleh beri jaminan bahawa ada pihak tertentu boleh melanggar akta berkenaan di negeri ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai gesaan gabungan badan bukan kerajaan Hindu supaya memberi jaminan tiada lagi kuil Hindu akan dirobohkan di Kedah, sebaliknya dipindahkan jika perlu.

Sebelum ini media melaporkan Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah selepas tapak yang dimiliki kerajaan negeri itu akan dibangunkan.

Bagaimanapun isu itu mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan yang mahu Menteri Besar Kedah supaya menjelaskan pendiriannya berhubung kuil dan tempat ibadat.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, isu struktur kuil diroboh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi tetapi ia adalah isu undang-undang yang perlu difahami semua pihak.

Beliau berkata, pihaknya hanya boleh memberi jaminan struktur bangunan, premis atau sebarang rumah ibadat tidak akan ‘diganggu’ sekiranya dibina atas tanah milik persendirian.

“Saya hanya boleh beri jaminan pada mana-mana struktur bangunan rumah ibadat, rumah dan premis dibina atas tanah sendiri berasaskan jaminan Perlembagaan Persekutuan Perkara 13.

“Ia berpandukan bahawa seseorang rakyat Malaysia mempunyai hak atas harta benda miliknya sendiri, itu boleh dijamin, jaminan hanya boleh dijamin oleh undang-undang, tidak boleh di luar batas undang-undang,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here