Kes cabul: ‘PAS gagal kembangkan syiar Islam, calar imej agama’ – Amanah

0
2

PAS gagal mengembangkan syiar Islam, malah menjadikan imej agama ini lebih buruk selepas tiga dekad mentadbir Kelantan, kata Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Hazmi Hassan.

Malah menurut Hazmi, kes cabul membabitkan individu bergelar ‘ustaz’ di negeri itu baru-baru ini telah menggambarkan kegagalan PAS dalam melaksanakan pentadbiran Islam dan mengekalkan kegemilangan kepimpinan ulama yang diwariskan.

Selain itu, Hazmi berkata, peningkatan gejala sosial seperti kes cabul dan rogol pula adalah perkembangan sosial yang menakutkan dan mencalarkan imej Kelantan Negeri Serambi Mekah.

“Di Kelantan hari ini macam-macam kes kita dengar, dan baru-baru ini ada satu kes melibatkan seorang ustaz yang buat kita nak hantar anak ke pondok pun jadi takut.

“Kalau seorang tok guru pondok pun kita sudah tak boleh percaya, bagaimana Islam di Kelantan dapat berkembang sebagaimana satu ketika dulu,” katanya ketika menjadi tetamu Program Tanwir Online Amanah, semalam.

Dalam pada itu, Hazmi berkata, sebagai pentadbir negeri Kelantan, PAS patut memberi fokus menyelesaikan isu bekalan air bersih dan kemiskinan di Kelantan daripada memenuhi citarasa peribadi dengan pembelian kereta mewah untuk barisan Exco dan kenaikan elaun wakil rakyat.

“Ketika kualiti perkhidmatan kepada rakyat masih amat mengecewakan, pimpinan negeri masih sempat memikirkan soal kenaikan gaji sendiri di samping melaram dengan kereta mewah Mercedes Benz,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here