MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, bersedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung mengenai kos vaksin Covid-19 yang dibeli, namun bersyarat.
Beliau berkata, taklimat akan diberikan jika jawatankuasa itu berjanji tidak mendedahkannya butiran yang disampaikannya.
Rundingan mengenai harga yang dibayar Malaysia kepada setiap syarikat pengeluar vaksin tertakluk kepada kerahsiaan yang dipersetujui bersama dengan pihak terbabit, lapor Berita Harian.
Mengambil contoh tindakan seorang pemimpin Belgium mendedahkan harga dibayar Kesatuan Eropah (EU) kepada syarikat pengeluar vaksin, Khairy berkata, kerajaan bimbang pendedahan harga kos dalam rundingan boleh menjejaskan perjanjian antara Malaysia dengan syarikat pengeluar.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, syarat kerahsiaan itu ditetapkan syarikat pengeluar vaksin kepada mana-mana kerajaan termasuk Malaysia yang mengadakan perjanjian.
Ciapan menteri Belgium itu sudah dipadam kerana melanggar syarat kerahsiaan ditetapkan.
“Kalau kita langgar syarat ini, ia akan menjejaskan perjanjian dengan syarikat farmaseutikal pengeluar vaksin. Ini syarat mereka, bukan syarat kita.
“Kalau ikutkan kerajaan Malaysia, memang kita nak umum dan kita tidak ada masalah melakukannya, tetapi saya mengambil pendirian menghormati perjanjian itu kerana yang penting adalah mendapat bekalan vaksin untuk rakyat.
“Namun, oleh kerana ia dibangkitkan termasuk oleh Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Iskandar Puteri), maka saya tawarkan kepada PAC di Parlimen untuk saya memberi taklimat kepada jawatankuasa.
“Saya boleh boleh memberi taklimat terperinci termasuk kos vaksin sekiranya PAC terima syarat kerahsiaan dan mereka mewakili rakyat untuk mendapatkan maklumat terperinci,” katanya.
-Malaysiapost

