Liga M: Penyokong lawan mungkin tidak dibenarkan masuk ke stadium

0
1

KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan memberi bayangan penyokong lawan kemungkinan tidak dibenarkan masuk ke stadium dalam saingan Liga Malaysia 2021.

Ia susulan Majlis Keselamatan Malaysia (MKN) mengumumkan kebenaran penganjuran Liga Malaysia (Liga M) pada tahun depan dengan jumlah kehadiran penonton dihadkan 10 peratus daripada kapasiti tempat duduk atau maksimum 4,000 orang

Ab Ghani berkata, pihaknya akan membentangkan cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan hanya membenarkan penyokong tuan rumah sahaja berada di stadium bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Beliau turut mengesahkan SOP tersebut akan dibentangkan kepada KBS pada minggu depan dan para penyokong hanya boleh membeli tiket secara ‘online’.

“Di bawah cadangan kami, pasukan tuan rumah harus melaksanakan SOP yang ketat, termasuk pemeriksaan suhu pada setiap orang yang memasuki venue perlawanan.

“Sebagai contoh, jika stadium itu boleh memuatkan 4000 penyokong, mereka akan dipisahkan kepada lapan kumpulan yang terdiri daripada 500 orang penyokong. Mereka kemudian akan memasuki tempat tersebut melalui zon-zon tertentu,” katanya seperti dilapor NST.

Sementara itu, Ab Ghani berkata warga emas dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun turut tidak dibenarkan masuk kerana mereka adalah golongan yang berisiko tinggi dijangkiti wabak pandemik.

“Kumpulan berisiko tinggi, termasuk warga emas dan kanak-kanak di bawah 12 tahun, tidak akan dibenarkan menghadiri perlawanan. Peminat mesti mengamalkan penjarakan sosial. Tempat duduk di stadium juga akan ditanda.

“Setiap orang wajib memakai topeng muka (mask), dan tandas stadium akan ditutup pada separuh masa untuk mengelakkan kesesakan. Namun, para peminat boleh menggunakan tandas semasa perlawanan berlangsung,” katanya.

Selain itu, Ab Ghani juga turut menegaskan hukuman berat akan dikenakan kepada pasukan yang terlibat jika para penyokongnya didapati telah melanggar SOP tersebut ketika perlawanan sedang berlangsung.

“Semua penyokong wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan. MFL akan mengeluarkan surat amaran kepada pasukan sekiranya penyokong mereka didapati tidak mengikuti SOP.

“Kesalahan yang berulang akan menyebabkan mereka berdepan hukuman bermain di stadium tertutup tanpa kehadiran penyokong,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here